KUALA LUMPUR, 6 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mempengerusikan satu mesyuarat bagi membincangkan isu penjawatan serta sumber manusia perkhidmatan Parlimen pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata mesyuarat itu diadakan bagi membolehkan Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dibentangkan secepat mungkin.
“(Perkara) yang hanya tinggal (dalam RUU ini) adalah berkenaan cadangan penetapan dasar iaitu melihat aspek tertunggak iaitu berkenaan pegawai-pegawai Parlimen. Ini sahaja aspek yang tertinggal dan tertunggak.
“Jadi apabila mesyuarat ini dapat dikemas kini, diselesaikan dan mendapat keputusan, saya berharap insya-Allah pada 2025 boleh menjadi satu kenyataan supaya RUU Perkhidmatan Parlimen dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) ini dapat dibentangkan kepada Jemaah Menteri dari (segi) dasar supaya RUU (bagi membuat) pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 pula dilihat dapat menjadi satu realiti,” katanya.
Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) di peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Azalina, cadangan penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen merupakan antara agenda reformasi institusi yang direncanakan Kerajaan MADANI.
Inisiatif itu katanya sebagai usaha memartabatkan Parlimen Malaysia menerusi doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dengan badan eksekutif.
Tambahnya melalui cadangan itu, perkhidmatan Parlimen yang baharu akan mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia termasuk perkara melibatkan pengurusan sumber manusia, pentadbiran dan kewangan serta perkara-perkara berkaitan.