KUCHING, 6 Nov: Kementerian Perpaduan Negara mencadangkan bahasa kolokial dan dialek atau loghat tempatan dijadikan sebagai silibus bagi pengajian kebahasaan di institusi pendidikan tinggi (IPT).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia adalah usaha untuk memperluas dan melestarikan keberdayaan bahasa komuniti agar kekal terpelihara.
Katanya, inisiatif melestarikan penggunaan bahasa kolokial ini dapat dilakukan dengan kerjasama erat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Program pendidikan yang melibatkan penceritaan, puisi dan seni persembahan dalam bahasa kolokial boleh meningkatkan penghargaan pelajar terhadap warisan linguistik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Merasmikan Konvesnyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024 anjuran Arkib Negara Malaysia di Hotel Tenera Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.
Konvensyen ini bertujuan untuk mengumpul dan mendokumentasikan maklumat mengenai bahasa kolokial supaya kekal terpelihara dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang.
Selain itu, dalam usaha membangunkan bahasa standard, Aaron turut mencadangkan bahasa dialek dan bahasa kolokial perlu lebih banyak dimasukkan dalam kamus, terutamanya bahasa atau dialek tempatan yang jarang digunakan.
Katanya, ia boleh memperkayakan kosa kata dan seterusnya boleh menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan.
“Kajian ke atas bahasa kolokial dan dialek harus diperluaskan dan dilakukan di semua negeri serta melibatkan semua bangsa, etnik dan suku kaum di Malaysia.
“Hasil kajian ini perlu diterbitkan dan disebarluaskan,” ujarnya lagi.
Jelas Aaron, hasil kajian tersebut boleh dijalankan dengan teknologi terkini dan multi-disiplin seperti menggunakan pendekatan Geograhical Information System (GIS).
Dalam pada itu, beliau berharap agar Arkib Negara Malaysia dapat meneroka usaha pendigitalan teks lama, rakaman suara, dan dokumen penting dalam bahasa kolokial membolehkan warisan ini disimpan dalam format digital dan mudah diakses oleh generasi akan datang.
Katanya, projek ini boleh disokong dengan teknologi pengimbasan canggih dan pangkalan data awan yang memudahkan penyimpanan serta carian.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan, Arkib Negara Malaysia telah berjaya melaksanakan 11 siri Bicara Bahasa Kolokial. – TVS