MIRI, 6 Nov: Unit Operasi dan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri melaksanakan aktiviti penguatkuasaan secara Rondaan Pemantauan dan Penguatkuasaan (RPP) di sekitar bandaraya Miri semalam.
JPJ Sarawak dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengesan beberapa kesalahan dilakukan pengguna jalan raya dalam operasi itu.
“Antaranya ialah kesalahan tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan kesalahan teknikal yang lain.
“Sebanyak 332 buah kenderaan telah diperiksa dan sebanyak 95 notis ketidakakuran telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” ujarnya.
JPJ Negeri Sarawak menyeru agar semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya setiap masa.-TVS