KUCHING, 6 Nov: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) melancarkan kempen ‘Gateway to Borneo’ yang menjemput pengembara global untuk meneroka budaya unik, keindahan landskap dan pengembaraan tanpa sempadan yang ditawarkan Sarawak.
Kempen itu dilancarkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada World Travel Market (WTM) di London, hari ini.
Beliau berkata ‘Gateway to Borneo’ bukan sekadar pintu masuk, ia merupakan satu jemputan untuk merasai sendiri tradisi Sarawak, landskap megah dan pelancongan yang bertanggungjawab menetapkan penanda aras baharu bagi pengembara dunia.
“Ketika kami (Sarawak) melangkah dengan berani ke masa hadapan, misi kami adalah untuk memelihara dan berkongsi warisan unik ini sambil merintis pengalaman pelancongan mesra alam yang menghormati alam sekitar dan komuniti kami,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan STB.
Menerusi World Travel Market, STB mempamerkan empat inisiatif utama iaitu Audra’s Eat, Roam and Relish – siri kulinari yang dihoskan oleh Cef Audra Morrice, meraikan Sarawak sebagai bandar raya gastronomi UNESCO yang pertama di Malaysia.
Kedua, Borneo Green Bike Tour, pengembaraan basikal elektrik mesra alam yang mempromosikan perjalanan karbon rendah selaras dengan matlamat pembangunan mampan Sarawak.
Ketiga, XTERRA Sarawak Borneo Trail Run, larian laluan ‘off-road’ melalui Kampung Pueh, menonjolkan pelancongan pengembaraan Sarawak.
Keempat Clicktripz, inisiatif pemasaran dikuasakan kecerdasan buatan (AI) Asia Pasifik yang pertama, memperluaskan capaian digital global Sarawak.
United Kingdom (UK) kekal sebagai pasaran pelancongan penting bagi Sarawak, iaitu 24 peratus daripada jumlah ketibaan pelawat jarak jauh dengan jumlahnya meningkat dan memberangsangkan, disokong perkongsian kukuh serta permintaan semakin meningkat bagi pengalaman pengembaraan Sarawak yang mampan.
Dari Januari hingga September 2024, Sarawak menyaksikan peningkatan 7.73 peratus jumlah pelawat dari UK, menekankan tarikan globalnya serta menyumbang kepada sasaran empat juta ketibaan pada tahun ini.