TAWAU, 6 Nov: Seorang warga emas rentung selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran di Lorong Cempaka, Kampung Air, Batu 4, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang dikenali sebagai Salleh Alih, 60, ditemui di bahagian dapur rumah oleh orang awam, kira-kira jam 2 petang selepas api berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.59 pagi.
Katanya, sepasukan 18 anggota dan pegawai bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dari sumber air terbuka.
“Operasi pemadaman ditamatkan pada jam 8.54 pagi selepas dipastikan tiada lagi punca bara api yang menyebabkan kebakaran semula ,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bagaimanapun menerima maklumat daripada orang awam pada jam 1.53 petang berhubung penemuan mangsa.
Katanya, pasukan bomba dan pihak polis terus ke lokasi semula dan mendapati mayat mangsa berada di sebalik timbunan runtuhan.
“Pasukan bomba seterusnya membantu mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya, setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik bomba. – TVS