SHAH ALAM, 6 Nov: Kesemua 854 anggota kumpulan Malbatt 850-12 yang terlibat dalam misi pengaman di Lubnan telah menjalani latihan rapi selama 12 minggu di kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Port Dickson, Negeri Sembilan.
Kumpulan itu akan dihantar secara beperingkat mulai hari ini hingga 18 November, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan memaklumkan, kesemua anggota juga telah menjalani ujian psikologi bagi memastikan bersedia berikutan konflik yang semakin memuncak di negara berkenaan.
“Ini supaya juga supaya mereka bersedia dalam soal keselamatan dan dapat melaksanakan misi tanpa mengira situasi atau keadaan.
“Semua negara yang terlibat juga mendapat arahan dari Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) supaya lakukan pertukaran anggota mengikut jadual, ini termasuk kumpulan dari Perancis dan Poland,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-12 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled optimis keselamatan kesemua anggota yang ditempatkan terjamin susulan penempatan mereka tidak berhampiran kawasan konflik.
“Mereka tidak ditempatkan berdekatan sempadan Lubnan dan Israel, kalau apa-apa berlaku, misalnya, cabaran dari darat, ancaman itu perlu melalui pasukan pengaman di Selatan, Timur dan Barat terlebih dahulu dengan lokasi kita berada di tengah-tengah itu,” jelasnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai status kumpulan Malbatt 850-11, Mohamed Khaled berkata kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan bersiap sedia untuk dibawa pulang.
Sementara itu ketika ditanya mengenai pertambahan aset untuk kumpulan itu di Lubnan, beliau memaklumkan segala perolehan hanya akan diterima menjelang 2026.
“Pasukan ini diwujudkan bagi keamaan, bukan untuk tujuan menyerang, kalau ada ancaman, komitmen kita hanya bertahan, jadi kita memang menyediakan segala kelengkapan sesuai bagi misi tersebut,” katanya. – TVS