ABU DHABI 5 Nov: Projek mega solar terapung di Empangan Murum dijangka menigkatkan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui kepada Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menjelaskan perkara itu, Premier Sarawak berkata kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB), Abu Dhabi Future Energy Company (PSJC) Masdar dan syarikat tenaga bersih, Gentari akan melakukan kajian bersama selama 12 bulan bagi membangunkan projek tersebut dengan sasaran penjanaan tenaga solar sehingga satu gigawatt (GW).
“Ini adalah satu pelaburan yang agak tinggi yang dapat menambahkan lagi pengeluaran tenaga boleh diperbaharui kepada Sarawak.
“Bukan itu saja, kemungkinan kerjasama ini dapat membolehkan kita melihat projek-projek yang lain yang boleh kita bangunkan di Sarawak melalui kerjasama ekonomi di antara Abu Dhabi dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke bandar Masdar, Abu Dhabi di sini pada Selasa.
Menurutnya, Murum akan menjadi kawasan pertama di dunia yang mengeluarkan tenaga sehingga 1GW daripada solar fotovoltek terapung.
Malah ia selari dengan aspirasi pembangunan tenaga hijau Sarawak sekali gus merealisasikan sasaran pengeluaran 10GW tenaga menjelang 2030.
“Kalau ini berlaku, bermaknanya kita boleh menjanakan tenaga yang boleh kita kongsikan kepada rakan jiran kita, mewujudkan ‘internconnection exercise’ yang menjurus kepada Grid Asia.
“Apa yang kita lihat di Abu Dhabi ini dengan rakan kongsi kita, kemungkinan besar kita boleh melaksanakan lebih dari apa yang kita rancang,” katanya..
Terdahulu, Premier Sarawak bersama delegasi Kerajaan Sarawak melawat bandar bebas karbon dan hab teknologi terkemuka di Abu Dhabi.
Dalam pada itu, beliau turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Penyelidikan Bersama (JSA) yang melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi SEB Datuk Ibrahim Baki.
Turut hadir ialah Pengerusi Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain. -TVS