LAWAS, 5 Nov: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM400,000 untuk membina semula dua blok bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas yang musnah terbakar pada Oktober lalu.
Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek di pejabatnya di bangunan Parlimen semalam.
Jelas Henry Sum beberapa keperluan bagi sektor pendidikan di Parlimen Lawas turut dibahaskan pada Persidangan Dewan Rakyat semalam.
“Masa depan anak-anak dan pelajar perlu dititik berat dari segi keperluan asas, kelengkapan pentadbiran dan tenaga pengajar yang mencukupi.
“Di Lawas terdapat 35 buah sekolah sekolah rendah kebangsaan dan empat buah sekolah menengah.
“Kebanyakan bangunan sekolah berada dalam keadaan daif khususnya yang dibina sekitar 30 dan 40 tahun dahulu dengan bahan binaan sebahagian daripada kayu dan tidak tahan lama berbanding dengan bangunan konkrit, ” katanya kepada media hari ini.
Selain masalah sekolah uzur, Henry Sum juga mencadangkan agar Sekolah Kebangsaan (SK) Siang-siang yang sering dilanda banjir di pindahkan ke suatu kawasan yang lebih tinggi.
“Dari segi tenaga pengajar saya difahamkan terdapat 74 kekosongan jawatan guru di Lawas dan kebelakangan ini wujud dua kekosongan Pengetua iaitu di SMK Trusan dan SMK Sundar dalam tempoh yang agak lama.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar peranan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak diperluaskan lagi untuk tujuan mempercepatkan proses pengambilan guru baharu dan pengisian jawatan-jawatan kosong,” ujarnya.
Katanya, isu-isu guru-guru yang sudah berkahwin seharusnya tidak dipisahkan antara satu sama yang lain, contohnya suami mengajar di Lawas dan isteri mengajar di Semenanjung dan sebaliknya kerana ini akan menjejaskan prestasi guru tersebut.
Perkara lain yang turut dibangkitkan ialah aspek kesihatan, perhubungan, telekomunikasi, bekalan air bersih dan bekalan elektrik yang lebih baik. – TVS