Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Sesi Townhall Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini. Foto: Halim (TVS)

Perincian berkenaan RUU Tahanan Rumah dijelaskan di Parlimen Khamis ini – Saifuddin

ByHafeezzur Muzamir

KAJANG, 5 Nov: Perincian berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Tahanan Rumah akan dijelaskan di Parlimen pada Khamis ini, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution İsmail.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tindakan itu bagi menghentikan andaian segelintir pihak yang mendakwa RUU tersebut cenderung memihak kepada seorang individu berpengaruh dalam negara.

Saifuddin Nasution berkata, beliau akan menjelaskan mengenai proses dan parameter RUU itu secara terperinci semasa sesi penggulungan kementeriannya sekali gus menoktahkan perspektif salah mengenainya dan meredakan kebimbangan masyarakat terhadap pelaksanaanya.

“Saya mengikuti sepenuhnya reaksi setelah tajuk itu dimasukkan dalam teks Belanjawan 2025 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan ia mengundang pelbagai pandangan.

“Saya percaya pada akhirnya, penjelasan itu mampu menjernihkan beberapa pandangan yang saya sifatkan hanya tertumpu kepada seorang individu itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Sesi Townhall Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kira-kira 20,000 banduan layak dikenakan tahanan rumah, dengan mereka disabitkan kesalahan kecil dan bukannya jenayah berat.

“Banyak pertimbangan lain dan untuk tujuan ini, Jabatan Penjara dan KDN bersedia sepenuhnya dengan semua data yang diperlukan.

“Rasional dan asas program ini telah menyebabkan KDN menerima kelulusan awal daripada Jemaah Menteri.

“Susulan keputusan dasar ini, KDN akan mengadakan banyak sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan. Selepas itu barulah kita akan menggubal RUU ini,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan merangka akta baharu untuk membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.

Susulan daripada pengumuman itu, beberapa pihak membuat andaian bahawa akta itu dirangka dan ditujukan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan