KUALA LUMPUR, 5 Nov: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperuntukkan sejumlah RM316 juta untuk melaksanakan keseluruhan projek mengatasi banjir pantai di Sarawak yang dijangka bermula Oktober 2025.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelaksanaan projek berkenaan melibatkan 17 lokasi di enam Bahagian iaitu Kuching, Betong, Mukah, Miri, Limbang dan Samarahan.
Menurut beliau inisiatif Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melibatkan skop utama seperti membina struktur perlindungan banjir pantai dan kawalan hakisan serta kerja-kerja yang berkaitan.
“Dengan terlaksananya projek ini, sepanjang 32.9km pantai akan dapat dilindungi daripada kejadian banjir pantai yang seterusnya akan mengurangkan kerosakan harta benda dan nyawa,” katanya.
Akmal berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan daripada Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau memberitahu kemas kini projek berkenaan kini sedang dalam proses perolehan akan dilaksanakan secara reka dan bina dan kontrak kerja dijangka akan bermula pada Oktober 2025 dengan tempoh pelaksanaan projek selama lima tahun.
Dalam pada itu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru mendedahkan PETRA turut mengambil langkah pendekatan bukan struktur, melalui pelaksanaan dua Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (Integrated Shoreline Management Plan – ISMP) di wilayah ini.
Akmal mendedahan pelan pertama dilaksanakan adalah ISMP Kuching-Betong, melibatkan persisiran pantai di Bahagian Kuching, Samarahan dan Betong yang telah siap pada 2020 lalu.
“Manakala pelan kedua pula adalah ISMP Sarikei-Limbang yang telah disiapkan pada tahun ini. Pelan kedua ini melibatkan persisiran pantai di Bahagian Sarikei dan Limbang termasuklah Pulau Bruit,” jelasnya.