KUALA LUMPUR, 5 Nov: Inisiatif penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia direkodkan menjana penjimatan sekitar RM600 juta sebulan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan subsidi ini juga telah menyaksikan penurunan mendadak terhadap penjualan diesel di stesen minyak, sekali gus mencerminkan pengurangan aktiviti penyeludupan bahan api itu.
“Penjualan diesel di stesen minyak iaitu sekitar 25 peratus atau hampir 7 juta liter sehari.
“Manakala, jualan diesel secara komersil pula menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus atau 4 juta liter sehari menggambarkan setakat mana sektor industri berhenti membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan berhubung keberkesanan penyasaran subsidi diesel menerusi inisiatif MyBUDI.
Sehubungan itu, Amir menegaskan bahawa penyasaran subsidi petrol RON95 perlu dilakukan bagi mengelak ketirisan dan menjana penjimatan sama.
“Memandangkan tahap subsidi petrol RON95 sekitar RM20 billion setahun, jika ketirisan (subsidi petrol) terhadap warga asing, komersial dan golongan kaya dapat ditangani ia bakal menjana penjimatan sehingga RM8 billion setahun,” jelasnya.
Beliau berkata berdasarkan data semasa, dianggarkan penggunaan petrol bagi segmen bukan warganegara, komersial dan aktiviti penyeludupan mencecah 40 peratus daripada kadar penggunaan keseluruhan petrol.
Penyasaran subsidi petrol RON95 juga bertujuan untuk memastikan golongan B40 dapat menikmati subsidi bersasar itu kelak. – TVS