Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kerajaan mempertimbang meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.

Parlimen: Kerajaan pertimbang tawaran ‘no find, no fee’ cari bangkai pesawat MH370

ByFarah Diyana Samsuddin

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Kerajaan sedang mempertimbang tawaran berprinsip ‘no find, no fee’  daripada syarikat dari United Kingdom bagi meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan pihaknya berunding berkaitan tawaran yang dikemukakan syarikat Ocean Infinity itu pada Jun lepas.

“Rundingan berkaitan untuk meneruskan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, ” katanya,

Loke berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin yang mempersoalkan status terkini mengenai kertas cadangan syarikat robotik marin Ocean Infinity bagi memulakan semula pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang telah hilang semenjak tahun 2014 di Parlimen hari ini.

Loke mendedahkan prinsip tawaran itu melibatkan Kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui. 

“Lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan oleh syarikat Ocean Infinity adalah berasaskan kepada maklumat serta analisis data terkini yang telah dibuat oleh pakar-pakar dan penyelidik yang dirujuk oleh syarikat tersebut,” ujarnya.

Cadangan operasi pencarian oleh Ocean Infinity itu kata Loke sebagai cadangan yang kukuh (credible) dan boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Malaysia selaku negara pendaftaran pesawat MH370. 

Loke dalam pada itu mengesahkan kerajaan tidak pernah membayar bayaran operasi pencarian RM70 juta kepada Ocean Infinity yang melakukan operasi pencarian pada 2018.

“Ketika itu ada perjanjian dengan kerajaan tetapi mereka (Ocean Infinity) tidak dapat menemui bangkai pesawat oleh sebab itu tiada sebarang bayaran yang dibayar kepada syarikat berkenaan.

“Sekarang kos yang sama diminta Ocean Infinity seperti tahun 2018 lalu iaitu RM70 juta dan sedang dalam rundingan…sekiranya dimuktamadkan Jemaah Menteri maka saya akan melakukan pengumuman terbuka,” tegasnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan