ABU DHABI, 5 Nov: Abu Dhabi Future Energy Company (PSJC) – Masdar, sebuah syarikat tenaga bersih terkemuka dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah menandatangani perjanjian penyelidikan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Gentari, penyedia penyelesaian tenaga bersih hari ini di Abu Dhabi.
Kerjasama strategik ini bertujuan untuk meneroka potensi pembinaan salah satu projek solar fotovoltek (PV) terapung terbesar di dunia, yang dijangka mempunyai kapasiti sehingga 1 gigawatt.
Projek ini akan dilaksanakan di empangan Murum, Sarawak, dan berpotensi memberi impak besar terhadap sektor tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.
Malah ia bukan sahaja mencerminkan komitmen ketiga-tiga pihak untuk memimpin penyelesaian tenaga lestari, tetapi juga memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang mampan di peringkat global.
Majlis menandatangani perjanjian itu telah disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Perjanjian itu melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datuk Sharbini Suhaili, Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Terdahulu, delegasi Sarawak yang dipimpin Abang Johari ketika dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Abu Dhabi turut melawat Masdar City, yang dikuasakan dengan tenaga solar pertama di dunia. -TVS