KAJANG, 5 Nov: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan kertas dasar berkenaan semakan semula Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang-Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7) yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bertujuan bagi memberi peluang kedua kepada lebih satu juta individu yang dikenal pasti tersenarai di bawah akta berkenaan.
Jelas beliau perkara itu diakui memberi beberapa kekangan kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup meskipun tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan.
“KDN akan kemukakan kertas dasar dalam masa terdekat dengan pihak saya bersungguh-sungguh hendak bersihkan nama mereka terutama yang tidak melibatkan sabitan dan hukuman. Ada juga mereka ini tersenarai disebabkan kalah rayuan dan sebagainya.
“Kita akan tumpu kepada kategori orang yang tidak dikendaki kerana perkara ini unik, seseorang yang dipanggil menjadi saksi untuk bantu pihak mahkamah, atau pengadu, mereka ini tersenarai dalam akta ini walaupun tidak disabitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Townhall Menteri Dalam Negeri di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata kumpulan berkenaan perlu diberi peluang kedua manakala data yang dimiliki akan membantu KDN, terutama mengenal pasti pesalah kali pertama.
Beliau memberitahu, pihaknya akan melakukannya secara administratif dengan akta berkenaan turut memerlukan pindahan yang perlu dilakukan di Parlimen. – TVS