KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sejumlah 93.47 peratus belia di Malaysia didapati tidak menyertai sebarang persatuan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Berikutan itu kata beliau satu program yang komprehensif dibentuk bagi menangani situasi terbabit.
“Keprihatinan kita adalah terhadap 93.47 peratus dalam kalangan belia yang tidak menyertai persatuan.
“Itulah sebabnya kita menekankan pendekatan komunikasi bersemuka secara atas talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui platform media sosial menjadi cabaran bagi menarik minat belia ke dalam berpersatuan kerana ia tidak memerlukan kehadiran secara fizikal.
“Cabarannya bukan kerana belia tidak mempunyai masa untuk menyertai persatuan tetapi media sosial.
“Dahulu, jika kita hendak berkenalan dengan kawan baharu kita akan menyertai persatuan seperti Pengakap dan St John Ambulance.
“Kini, semua orang berkenalan dengan kenalan baharu secara atas talian. Sebab itulah kita memperkenalkan semula Rakan Muda,” katanya.
Hannah mendedahkan kementeriannya berhasrat mewujudkan lebih banyak pertandingan sebagai platform untuk mencungkil bakat dan memperkasakan Rakan Muda.
Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli. -TVS