MIRI, 5 Nov: Sebuah kapal nelayan milik Sarawak Slipways yang sedang dalam pembinaan terbakar di Kuala Baram di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Juga berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 3.18 petang dengan menggerakkan 17 anggota BBP Lutong dengan bantuan BBP Lopeng ke lokasi kejadian.
“Setibanya pihak bomba di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan kapal milik Sarawak Slipway di limbungan kapal yang masih dalam proses pembinaan.
“Api pada ketika itu sedang marak membakar di bahagian kokpit, kebakaran tersebut telah memusnahkan lebih kurang 60 peratus kapal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba melakukan pemadaman dengan konsep RECEO, pihak bomba BBP Lutong dengan sut perlindungan diri (PPE) membentang satu aliran 200 kaki, dua nozel air daripada jentera untuk memadam kebakaran.
“Operasi juga turut dibantu anggota daripada BBP Lopeng. Kebakaran tiada melibatkan kecederaan. Punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.-TVS