KUCHING, 5 Nov: Perjanjian yang dimeterai bersama Sabah dan Sarawak perlu dihormati Kerajaan Persekutuan termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa pembentukan negara dahulu.
Penganalisis politik, Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan keadilan dengan menunaikan tuntutan daripada kedua-dua wilayah seperti termaktub dalam MA63.
“Semua ahli politik perlu faham dan menghormati perjanjian yang dipersetujui pemimpin terdahulu demi kebaikan bersama.
“Jika ada jaminan daripada Kerajaan Persekutuan bahawa mana-mana hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam MA63 tidak akan diganggu-gugat, sudah tentu tidak akan berlaku isu tidak sepatutnya di kemudian hari,” katanya.
Menuruf Fadzil, secara peribadi beliau menyifatkan kelantangan Kerajaan Sarawak menuntut hak yang termaktub dalam MA63 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold adalah untuk memastikan keadilan kepada negeri dan rakyatnya.
Tambahnya, jika terdapat sebarang pindaan dalam MA63 yang mungkin akan dilaksanakan pada masa akan datang, hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam perjanjian tidak akan terhakis.
“Disebabkan itu, saya berpandangan keputusan Sarawak menuntut satu pertiga kerusi Parlimen adalah bagi memastikan apa-apa penggubalan yang mungkin akan dilakukan nanti tidak akan merugikan kedua-dua wilayah. Ia susulan kita hanya mempunyai kuota 25 kerusi sahaja dalam Parlimen.
“Justeru, langkah yang seharusnya dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan adalah menunaikan dan menghormati MA63 selain memberikan jaminan bahawa apa-apa penggubalan kelak tidak akan menyebabkan hak Sabah dan Sarawak terhakis.
“Apa jua penggubalan yang berkaitan dengan MA63 atau mana-mana perjanjian berkaitan perlu melalui rundingan bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak bagi menjaga keharmonian dalam Malaysia.
“MA63 adalah asas kepada pembentukan Malaysia jadi kita tidak boleh sewenang-wenangnya meminda perjanjian itu lebih-lebih lagi ketika ini kelebihan berpihak kepada Semenanjung Malaysia susulan mempunyai kerusi Parlimen lebih banyak,” ujarnya.
Fadzil juga menambah, semua pihak perlu memahami perjuangan yang dilakukan oleh Sabah dan Sarawak adalah untuk memastikan asas kepada pembentukan Malaysia dalam MA63 tidak diubah.
“Kita faham kepadatan penduduk yang menentukan persempadanan, tetapi apa yang mereka tidak faham adalah keluasan kawasan walaupun tidak mempunyai kepadatan penduduk merupakan elemen yang perlu ditangani seseorang ahli Parlimen.
“Persempadanan semula penting bukan hanya bagi maksud pengundian pada pilihan raya sebaliknya ia akan membawa manfaat besar kepada rakyat dalam aspek penyampaian khidmat susulan pembahagian kuasa pentadbiran lebih relevan.
“Ia juga bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan agenda pembangunan di kedua-dua negeri itu dapat
dipertingkatkan.
“Perkara itu penting kerana ia mampu menggalakkan pembangunan infrastruktur di lokaliti berkenaan
melalui peruntukan yang diberikan kepada kawasan Parlimen sekali gus melancarkan proses pentadbiran,” jelasnya.-TVS