KOTA SAMARAHAN, 5 Nov: Graduan serta seluruh warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi harapan dalam menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pro-Canselor UNIMAS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata para graduan kelahiran institusi itu diseru untuk memainkan peranan aktif dalam menyumbang ke arah kemajuan Sarawak.
“Manfaatkan ilmu dan kemahiran yang telah anda pelajari di UNIMAS untuk membina masa depan yang lebih cerah bagi wilayah Sarawak, keluarga anda dan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berucap merasmikan hari kedua Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) UNIMAS di sini hari ini.
Dalam pada itu Uggah turut menyentuh mengenai kerjasama UNIMAS dengan kerajaan Sarawak dalam mendukung Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang jelas menunjukkan komitmen institusi tersebut dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak.
UNIMAS katanya, telah memainkan peranan besar dalam membantu kerajaan mencapai hasrat untuk menjadikan Sarawak sebagai sebuah wilayah maju menjelang tahun 2030 melalui pendidikan, inovasi teknologi dan pemerkasaan komuniti luar bandar.
Antara perkara lain yang turut ditekankan termasuk pendigitalan, pembangunan tenaga hijau, pembangunan infrastruktur, autonomi pendidikan, pembangunan ekonomi dan sosial, keterjaminan makanan dan perubahan iklim.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga melihat autonomi pendidikan sebagai langkah penting dalam memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak Sarawak.
“Dengan autonomi penuh dalam bidang tersebut, kita dapat merangka program yang lebih relevan dalam keperluan setempat, melahirkan modal insan kelas pertama serta memperkukuh pencapaian para pelajar di semua peringkat.
“Dalam hal ini, peranan UNIMAS adalah kritikal dan saya amat menghargai komitmen universiti ini dalam menyediakan program pengajian yang berdaya saing,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, hari kedua Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 menyaksikan dua sidang berlangsung masing-masing pada sebelah pagi dan petang, yang membabitkan seramai 1,073 graduan dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Fakulti Alam Bina dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. – TVS