KOTA SAMARAHAN, 5 Nov: Meskipun dilahirkan dengan kekurangan, ia tidak menjadi penghalang bagi Yak Fang Ling bergraduat dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.44 dalam Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Gadis berusia 25 tahun berasal dari Sibu itu memberitahu, beliau memilih pengkhususan kaunseling kerana memasang impian untuk menjadi insan yang boleh membantu orang lain meskipun cacat penglihatan.
“Sebenarnya impian saya sangat mudah, saya hanya mahu menjadi seorang insan yang boleh membantu orang lain. Disebabkan masalah penglihatan (buta), saya tidak dapat membantu orang lain bahkan saya perlu dibantu oleh orang lain.
“Justeru saya benar-benar mahu menjadi seorang individu yang boleh menghulurkan bantuan kepada orang lain dan itulah sebabnya saya memilih pengkhususan kaunseling untuk melanjutkan pengajian di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen UNIMAS ke-28 di DeTAR Putra UNIMAS hari ini.
Fang Ling mengakui beliau sememangnya menghadapi kekangan sepanjang tempoh pengajiannya, namun perkara itu dapat diatasi dengan semangat yang dibekalkan ibunya serta bantuan rakan-rakannya.
Menurutnya, selain bahan bacaan, pergerakannya yang terhad turut menjadi salah satu cabaran yang dihadapinya semasa tempoh pengajian.
“Cabaran terbesar bagi saya adalah dari segi bahan bacaan iaitu kebanyakan bahan-bahan tersebut berbentuk salinan cetak, jadi ia agak menyukarkan saya untuk mengakses (maklumat).
“Jadi saya gunakan sumber dalam talian dan tidak terlalu bergantung dengan buku-buku salinan cetak. Saya akan mencari maklumat daripada laman web untuk penyelidikan saya.
“Kalau dari segi pergerakan pula, kawasan universiti ini adalah sangat luas dan saya perlu ditemani individu lain sekiranya hendak bergerak ke mana-mana kecuali di tempat kecil seperti di bilik dan di rumah,” ujarnya lanjut.
Manakala bagi Nur Balqis Mohd Nasir yang mengalami masalah pendengaran pula, selain kebergantungan terhadap rakan-rakan, alat bantuan pendengaran juga penting untuk memastikan kelancaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Anak kelahiran Kelantan itu berjaya membuktikan kejayaannya apabila bergraduat dengan PNGK 3.16 dalam Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian.
“Sepanjang saya belajar, tiada masalah. Cuma apabila hendak membuat tugasan, saya perlu berinteraksi dengan rakan-rakan dan kena lakukan senarai semak terlebih dahulu.
“Dari segi komunikasi, kalau orang bercakap terlalu laju, saya mengalami kesukaran untuk mendengar dan memahami dan disitulah saya bergantung kepada rakan-rakan saya,” kata gadis 23 tahun yang membesar di Selama, Perak itu.
Mengakui agak sukar berjauhan dengan keluarga dengan keadaan sedemikian, beliau akan kerap menghubungi ahli keluarganya bagi menghilangkan kesedihan dan mengekalkan semangatnya untuk menghabiskan saki-baki perjuangan dalam menuntut ilmu di UNIMAS.
Beliau yang mengalami masalah pendengaran sejak berusia 14 tahun mendedahkan ia berpunca daripada masalah urat saraf telinga.
Tidak menafikan kekurangannya pernah menjadi celaan manusia, namun beliau tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai pematah semangatnya dan terus bangkit melangkah ke hadapan. – TVS