KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sebanyak 208 projek jalan raya aktif di bawah pengurusan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dilaksanakan untuk tempoh lima tahun.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kesemua projek itu melibatkan peruntukan berjumlah RM22.4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK sambungan.
“Sebanyak RM2.8 bilion pula diperuntukkan bagi penyenggaraan jalan dan cerun pada tahun ini, tidak termasuk nilai industri jalan raya di bawah pihak berkuasa lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Jalan se-Malaysia ke-12 dan Kongres Serantau Federasi Antarabangsa Asia-Pasifik ke-5 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Berhubung pelaksanaan projek-projek berkenaan, Alexander Nanta memaklumkan, ia dijangka melibatkan 16,000 organisasi perniagaan serta 350,000 profesional, pekerja mahir, separa mahir dan pekerja tidak mahir.
“Data ini menunjukkan industri jalan raya menjadi penyumbang secara langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan peluang pekerjaan malah saling melengkapi antara satu sama lain.
“(Saya berharap yang) industri ini terus berkembang dan memainkan peranan penting dengan sokongan kerajaan dan sektor swasta, ia boleh memanfaatkan inovasi serta teknologi terkini dalam industri,” katanya. – TVS.