SRI AMAN, 4 Nov: Persatuan Ahli Teknologi dan Juruteknik Sarawak (APTT) dengan kerjasama pensyarah dan pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengadakan program latihan asas pembuatan sabun semula jadi dan pemasaran digital di Event Digital Hub di Sri Aman pada 2 November lepas.
Program percuma itu direka khusus untuk suri rumah yang bertujuan memperkasa mereka dalam bidang keusahawanan dan pemasaran produk secara digital di samping meningkatkan kemahiran serta pendapatan mereka.

Ketua Projek Program Prof. Madya Dr Siti Kudnie Sahari yang pensyarah di Fakulti Kejuruteraan UNIMAS berkata, ia memperkenalkan konsep kejuruteraan hijau dalam pembuatan sabun sebagai pendekatan mampan.
“Sejajar dengan aspirasi agenda Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), matlamat utama program ini adalah untuk memperkukuhkan keusahawanan tempatan melalui pembuatan sabun yang mesra alam dan pemasaran digital.
“Kejuruteraan hijau menyokong visi PCDS 2030 untuk pembangunan ekonomi mampan dan inklusif.
“Kami berharap dapat membekalkan peserta bukan sahaja dengan kemahiran asas pembuatan sabun tetapi juga pengetahuan dalam menggunakan bahan semula jadi dan mesra alam yang mengurangkan kesan terhadap alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, program tersebut dibiayai melalui geran Kementerian Kebajikan, Wanita dan Keluarga (KKWPK).
Dr. Siti Kudnie berkata, sebuah buku turut dihasilkan dalam bahasa Melayu dan Iban bagi membolehkannya mudah diakses dan relevan untuk komuniti setempat.
“Ia berfungsi sebagai panduan menyeluruh kepada peserta dan membekalkan mereka dengan pengetahuan untuk menghasilkan produk sabun semula jadi.
“Setiap peserta diberikan kit pembuatan sabun untuk membantu mereka memulakan perniagaan dari rumah dan menerapkan ilmu yang dipelajari secara langsung,” ujarnya.
Segmen pemasaran digital pula dikendalikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UNIMAS Dr. Nur Auni Ugong yang berkongsi mengenai strategi pemasaran dalam talian termasuk penggunaan platform media sosial untuk mempromosikan produk.

Kemahiran tersebut adalah penting untuk memperluaskan jangkauan pasaran dan meningkatkan daya saing produk tempatan.
Kenyataan tersebut turut menyatakan, inisiatif tersebut selari dengan visi dan misi UNIMAS untuk aktif memperkasa komuniti melalui pendidikan dan inovasi.
Kerjasama antara UNIMAS dengan komuniti Sri Aman dijangka dapat memupuk usahawan mikro yang berdaya tahan serta menginspirasi lebih ramai wanita mencapai kemerdekaan ekonomi sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak. -TVS