KOTA SAMARAHAN, 4 Nov: Keberadaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Bumi Kenyalang selama 30 tahun dilihat masih kekal unggul menjadi salah satu institusi pengajian tinggi di Sarawak yang berjaya melahirkan ramai graduan berkualiti tinggi dan berdaya saing seiring dengan keperluan industri masa kini.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaaafar berkata, ini membuktikan bahawa penubuhan dan kemajuan UNIMAS adalah antara kejayaan terbesar dalam membantu pelajar untuk berdikari dan menjadi insan yang dinamik, progresif dan responsif.
Menurutnya, UNIMAS merupakan institusi pengajian tinggi yang bukan hanya sebagai pusat perkembangan ilmu, malah turut menjadi tempat bagi memupuk kepada kemajuan intelektual.
617 graduan terima skrol pada sidang pertama, Konvokesyen UNIMAS ke-28
“UNIMAS turut menjadi pusat perkembangan ilmu yang menyumbang kepada pembangunan setempat. Dalam konteks ini, diharapkan UNIMAS terus menjadi institusi yang memupuk kepada kemajuan intelektual.
“Selain itu, sentiasa menyemai harapan dalam kalangan pelajar dan penyelidik serta membantu masyarakat Sarawak mencapai potensi penuh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-28 UNIMAS di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra) UNIMAS di sini, hari ini.
Hadir sama, isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dan Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.
Seiring dengan ledakan zaman teknologi yang semakin berkembang pesat, Tun Wan Junaidi berkata, prasarana pendidikan yang moden dan terkini amat penting untuk memastikan UNIMAS mampu bersaing dengan universiti-universiti ternama di peringkat antarabangsa.
“Jangan kita lupa kita juga berpijak di bumi nyata, UNIMAS perlu meluaskan carian dan pembangunan. Kita contohi negara China semenjak tahun 2000 yang kreatif, yang di luar dugaan dari sudut kejuruteraan hingga ke pembuatan produk moden yang inovatif.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, dunia hari ini dipacu oleh teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI) dan revolusi digital. Justeru, UNIMAS mesti bersedia untuk mengintegrasi teknologi seperti AI dalam proses pengajaran, penyelidikan dan pengurusan.
“Penggunaan teknologi bukan sahaja dapat meningkatkan kecekapan operasi universiti, tetapi juga memberi peluang kepada UNIMAS untuk menjadi peneraju dalam inovasi pendidikan yang memanfaatkan teknologi moden,” katanya lagi.
Tegasnya, ini merupakan langkah yang perlu diambil bagi memastikan UNIMAS kekal relevan di peringkat global sekali gus dapat melahirkan graduan yang dilengkapi dengan kemahiran terkini yang diperlukan oleh pemegang taruh dan juga pasaran pekerjaan. – TVS