KUCHING, 4 Nov: Kemampuan Sarawak dalam menganjurkan sukan bertaraf dunia terbukti menerusi kejayaan penganjuran Konvensyen dan Kejuaraan Sukan Tarian Antarabangsa Terbuka Borneo (BOIDC) 2024.
Kejohanan sukan tarian yang bermula pada 1 November lalu menarik minat peserta dari 17 negara untuk berentap di lantai tari BOIDC 2024 dalam pelbagai disiplin tarian dewan dansa atau ballroom dance Standard dan Latin antaranya termasuklah Jive, Viennese Waltz, Cha Cha dan Paso Doble.
Pengerusi Pengelola BOIDC, Chan Tyng Tyng berkata, penganjuran kejohanan tersebut membuktikan sukan tarian dewan dansa semakin mendapat tempat dalam kalangan peserta tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, beliau dan pasukannya akan berusaha lebih keras untuk mengangkat martabat sukan tersebut ke tahap lebih tinggi.
“Saya berasa amat bangga kerana berjaya menganjurkan edisi kedua BOIDC 2024 ini, apatah lagi ini merupakan kali pertama kita menjadi tuan rumah kepada acara yang mempunyai ranking atau kedudukan bertaraf dunia di bawah seliaan Persekutuan Sukan Tarian Dunia (WDSF) dan Ranking Tarian Kebangsaan Malaysia di Sarawaknyang turut disertai 1,992 peserta dari 17 buah negara.
“Kami berasa teruja dengan kehadiran anda semua dan untuk perancangan masa hadapan, saya bersama pasukan saya bakal menganjurkan Kejohanan Terbuka Antarabangsa dan Kejohanan Kejuaraan Asia di Sarawak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penutupan Konvensyen dan Kejuaraan Sukan Tarian Antarabangsa Terbuka Borneo (BOIDC) 2024 pada Ahad.
Pada edisi pertama BOIDC yang dianjurkan tahun lalu, hanya 300 peserta dari 13 negara menyertai kejohanan.
Peningkatan melebihi 100 peratus peserta BOIDC 2024 memberi keyakinan kepada pengelola dan jurulatih, Chua Zjen Fong mengenai masa hadapan sukan tarian tersebut.
“Penganjuran kejohanan klasifikasi ranking dunia pertama yang dianjurkan di Sarawak bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak proses serta kelulusan yang diperlukan daripada badan sukan tarian dunia dan kebangsaan.
“Kita menjangkakan hanya lapan atau sembilan negara yang menyertai kejohanan ini, namun kami teruja kerana 17 negara turut serta dalam kejohanan kali ini.
“Menariknya, juara dunia dari disiplin tarian Latin dan juara dunia dari kategori Standard turut serta pada kejohanan kali ini. Ini merupakan satu kejutan kerana juara Eropah sanggup turun padang untuk berentap di Sarawak, buat pertama kalinya,” ujarnya.
Bagi pasangan Juara Peringkat Kebangsaan Bernice Lu Weng Tong dan Tan Yee Siang yang masing-masing berusia 22 tahun, segala pengorbanan dari segi masa dan batasan dalam kehidupan sosial sebagai belia serta pelajar universiti, dianggap berbaloi selepas berjaya meraih gelaran juara bagi kategori tarian disiplin Latin pada BOIDC 2024 kali ini.
“Kami berasa amat gembira dan bangga kerana berjaya memenangi kategori ini dan pada masa sama memenangi piala ini dalam ketiga-tiga kejohanan yang kami sertai. Kami juga mahu memperbaiki ranking kami pada Kejohanan Persekutuan Sukan Tarian Dunia (WDSF),” jelasnya.
Pasangan Juara Dunia Kategori Latin dari Perancis yang juga menduduki ranking pertama dunia, Charles-Guillaume Schmitt dan Elena Salikhova menyifatkan penyertaan mereka pada BOIDC 2024 sebagai inisiatif untuk berkongsi ilmu dan menginspirasi bakat muda dalam sukan tarian dewan dansa.
“Ini bukanlah tentang nama atau gelaran juara itu sendiri, tetapi lebih kepada niat untuk memberi inspirasi kepada semua orang pada setiap masa. Itu tujuan utama kami untuk bertanding dalam setiap kejohanan,” jelas Charles.
Sementara bagi Elena pula, jadual mereka dipenuhi pengisian program yang menjadi sebahagian daripada rencana mereka seterusnya.
“Perancangan seterusnya selepas ini bagi kami adalah mengadakan pertunjukan di Jerman dan seterusnya bertanding pada kejohanan di Itali. Jadual kami begitu padat sehingga ke hujung tahun ini,” katanya.
Selain Malaysia, edisi kedua Konvensyen dan Kejuaraan Sukan Tarian Antarabangsa Terbuka Borneo (BOIDC) 2024 yang melabuhkan tirainya malam tadi turut disertai negara China, Singapura, Perancis, Moldova, Korea Selatan, Chinese Taipei, Indonesia, Hong Kong, Macau, Mongolia, Filipina, Uzbekistan, Sepanyol, Kazakhstan, Itali dan United Kingdom.-TVS