KUCHING, 4 Nov: Sarawak terus menonjolkan komitmennya dalam mewujudkan persekitaran mampan dan sihat dengan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Aerosol Asia (AAC) ke-13.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, wilayah ini terus mempromosikan keupayaan untuk menjadi tuan rumah kepada perbincangan global mengenai kualiti udara dan aerosol selepas penganjuran Persidangan Kualiti Udara Lebih Baik (BAQ) pada 2018 yang menyumbang kepada kejayaan Sarawak memenangi Anugerah Legasi Anak Sarawak pada 2023.
“BAQ 2018 yang diadakan di Kuching, menghimpunkan pakar dan pihak berkepentingan untuk menangani isu pencemaran udara di seluruh Asia.
“Persidangan ini bukan sahaja berjaya dianjurkan, tetapi membolehkan Sarawak meraih Anugerah Legasi Anak Sarawak yang berprestij.
“Anugerah ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha dalam mempromosikan kelestarian alam sekitar. Saya berbangga menyampaikan anugerah itu kerana ia menandakan komitmen Sarawak untuk mewujudkan persekitaran lebih sihat, lebih mampan untuk masa depan rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Persidangan Aerosol Asia (AAC) ke-13 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
AAC 2024 yang berlangsung dari 3 hingga 7 November menghimpunkan lebih 400 pakar dari dalam dan luar negara.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii, Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih (MyCAS) Dr Noor Zaitun Yahaya dan Presiden Asian Aerosol Research Assesmbly (AARA) Chih-Chieh Chen.- TVS