KUCHING, 4 Nov: Sarawak kini memberi fokus kepada inisiatif berkaitan aerosol bagi menangani isu alam sekitar dan kesihatan terutama sekali berkaitan jerebu rentas sempadan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam hal tersebut, Sarawak mengambil langkah penting untuk meningkatkan pemantauan kualiti udara termasuk melabur dalam teknologi terkini bagi penilaian kualiti udara masa nyata.
Menurutnya, aerosol yang terhasil daripada pembakaran biojisim terutama zarah halus jisim (PM2.5) boleh tersebar jauh merentas sempadan sekali gus menjejaskan kualiti udara di wilayah terdekat.
“Memahami sumber, pengangkutan dan transformasi aerosol adalah penting untuk membangunkan strategi pencegahan yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Persidangan Aerosol Asia (AAC) ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
AAC 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 7 November menghimpunkan lebih 400 pakar dari dalam dan luar negara.
Abang Johari menjelaskan, pengurusan biojisim mampan melalui penukaran sisa pertanian kepada biotenaga turut menjadi fokus wilayah demi mengurangkan pelepasan aerosol berbahaya untuk mengurangkan jejak karbon dan meningkat kualiti udara.
Malah menurutnya, landskap unik dimiliki Sarawak adalah tepat untuk melaksanakan kajian berkaitan aerosol terhadap perubahan iklim dan proses atmosfera.
“Kita secara aktif bekerjasama dengan institusi penyelidikan antarabangsa untuk membangunkan strategi penyesuaian iklim yang mempertimbangkan interaksi aerosol dan iklim yang penting untuk meramal corak, hujan, kejadian cuaca ekstrem dan kesihatan hutan,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii, Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih (MyCAS) Dr Noor Zaitun Yahaya dan Presiden Asian Aerosol Research Assesmbly (AARA) Chih-Chieh Chen. – TVS