KUCHING, 4 Nov: Konsert Raisa – Teristimewa di Kuala Lumpur yang berlangsung malam semalam memukau ribuan peminat di ibu negara.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music, Ahmad Jeffny, pihaknya amat berbesar hati dapat membawa Raisa kembali ke Kuala Lumpur.
“Konsert ini bertujuan memberikan pengalaman yang unik dan berharga buat peminat Raisa, dan terima kasih buat setiap penonton yang hadir memeriahkan acara malam ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penyanyi dan penulis lirik terkenal Indonesia, Raisa menghiburkan peminatnya selama dua jam dan mendendangkan hampir 20 lagu.
Persembahan yang berlangsung di Megastar Arena ibu negara itu berlangsung dengan meriah.
Menurut Raisa dalam kenyataan sama, dirinya begitu terjua dan menyifatkan konsert ini merupakan pengalaman berharga buatnya.
“Sesungguhnya kalian adalah ‘teristimewa’ dalam hidup saya dan terima kasih kerana hadir menyokong saya pada malam ini. Konsert ini adalah satu pengalaman yang sangat berharga untuk saya, kerana saya sendiri terlibat secara langsung dalam setiap aspek persiapannya,” katanya dalam kenyataan.
Turut menyerikan konsert itu adalah artis terkenal tanah air, Hael Husaini dan Ernie Zakri turut melakukan persembahan dan bergandingan dengan Raisa.
Konsert ini juga memberikan peluang istimewa kepada peminat untuk berinteraksi dengan Raisa dalam sesi ‘meet & greet’ bagi pemegang tiket VVIP.
Raisa memulakan kerjaya nyanyiannya sebagai penghibur jemputan di konsert David Foster di Jakarta pada 2008 dan antara lagu hitnya adalah Serba Salah”, “Pergilah”, “Teristimewa”, “Jatuh Hati”, “Bahasa Kalbu”, “Could It Be”, “Mantan Terindah”, “Kali Kedua” dan banyak lagi.
Ini merupakan penampilan kali ketiga Raisa di Malaysia setelah konsert Raisa Live In Malaysia (2022) dan Raisya Hits Live in Concert (2023). – TVS