MIRI, 4 Nov: Bandar raya Miri bakal dimeriahkan dengan Perarakan Krismas ke-15 pada 7 Disember ini.
Perarakan tersebut dianjurkan Majlis Bandaraya Miri dengan kerjasama 15 gereja dan berlangsung di Miri City Fan dijangka bermula jam 5 petang.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, tahun ini tumpuan diberikan kepada keharmonian dan kepelbagaian kaum di Bandar raya Miri.
“Acara ini akan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk nyanyian, tarian dan Konsert Krismas oleh gereja yang mengambil bahagian,” katanya pada sidang media Perarakan Krismas Bandaraya Miri 2024 di sini, hari ini.
Lebih menarik lagi, artis tempatan, Melissa Francis akan membuat kemunculan istimewa bagi menyemarakkan semangat Krismas pada malam tersebut.
Perarakan akan bermula di Miri City Fac dan melalui Jalan Sylvia, Jalan Brooke, Jalan Kingsway, Jalan Puchong, Jalan Padang, Jalan Melayu, Jalan Nahkoda Gampar, Jalan Cina, Jalan Bendahara, Jalan North Yu Seng, Jalan South Yu Seng, Jalan Merpati, Jalan Kipas dan kembali semula ke Miri City Fan. – TVS