BANGI, 4 Nov: Kepimpinan Desa Madani diminta supaya mengemas kini data bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada pihak yang benar- benar layak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diambil perhatian oleh pihak bertanggungjawab supaya tiada lagi komen negatif daripada masyarakat berhubung amalan pemberian bantuan yang hanya melibatkan ahli keluarga dan rakan terdekat.
“Sebab itu pendekatan saya agar jangan hanya pilih adik-beradik, ahli keluarga atau kawan-kawan, sedangkan mereka yang memerlukan tidak disantuni.
“Kita mesti menyantuni mereka yang benar-benar memerlukan dan layak untuk dapat bantuan. Pendekatan ini saya telah lakukan sejak 2023 dengan kita mempunyai sistem yang tidak melalui pemimpin daerah, penghulu atau orang kampung tetapi menerusi JPKK dan JPKKP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpunan Luar Bandar MADANI 2024, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, dengan adanya data yang tepat, pihaknya boleh membantu membangunkan aplikasi dua hala untuk memastikan bantuan disalurkan secara lancar, tanpa pertindihan dan efektif.
Beliau menambah, aplikasi tersebut juga boleh digunakan untuk memaklumkan sebarang inisiatif kerajaan kepada rakyat serta membantu syarikat atau ‘start-up’ melihat potensi projek komuniti yang boleh dilaksanakan secara bersama.
“Sistem yang kita mulakan ini telah sampai ke peringkat akar umbi dan kita akan memantau sekiranya ia tidak disiapkan atau tidak disampaikan.
“Kita mahu kenal pasti apakah faktor yang menghalang atau menjadi kekangan pada sistem penyampaian itu untuk sampai ke kumpulan sasar, kita minta input itu datang daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP),” tambahnya. – TVS.