BANGI, 4 Nov: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) optimis peruntukan yang disediakan kepada komuniti luar bandar akan sampai kepada sasaran menerusi sistem penyampaian yang efektif dan telus.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri di KKDW berkata, sistem itu sudah dipraktikkan kementerian berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jelas beliau, fokus utama KKDW ketika ini adalah terarah kepada soal infrastruktur terutamanya melibatkan pembangunan telekomunikasi yang disifatkannya menjadi satu keperluan bagi komuniti di kawasan pedalaman.
“Kita akan meminta Kementerian Digital untuk mengambil perhatian terhadap kawasan yang kurang penduduk untuk juga diliputi oleh sistem 5G.
“Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan saluran kedua 5G agar kawasan-kawasan di luar bandar dapat diliputi terutamanya untuk pelajar dan juga usahawan yang berniaga secara atas talian dengan mereka sangat memerlukan liputan telekomunikasi yang baik, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpunan Luar Bandar MADANI 2024, di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ahmad Zahid berkata perkara berkenaan telah mula dilaksanakan.
“Saya harap dengan tambahan peruntukan dalam Belanjawan 2025, perkara ini akan dapat dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Ahmad Zahid berkata, menerusi Belanjawan 2025, KKDW telah menerima peruntukan sebanyak RM11.96 bilion, meningkat RM405.2 juta atau 3.51 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, katanya, RM7.49 bilion dikhususkan untuk pembangunan buat lebih 8.1 juta penduduk desa.
Ini katanya menjadikan KKDW sebagai kementerian ketiga tertinggi dalam penerimaan peruntukan pembangunan selepas Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kewangan (MOF). – TVS