BINTULU, 4 Nov: Seorang pemandu berdepan detik cemas selepas kereta dipandu tiba-tiba terbakar selepas terlibat dalam kemalangan kendiri berdekatan Rumah Panjang Dayang Sungai Dayung Batu 34, Jalan Bintulu-Miri di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Elvines Lai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 8.51 malam dan menggerakkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Samalaju ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis proton saga FLX yang terbakar secara keseluruhan selepas berlaku kemalangan kendiri.
“Bagaimanapun, pemandu lelaki berusia 32 tahun selamat dan tiada sebarang kecederaan dalam insiden ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak bomba terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu dan sumber air dari jentera untuk memadam kebakaran. -TVS