Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan bantuan kemanusiaan menerbangkan rakyat Palestin yang cedera parah ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, di sini diteruskan.
Menurut beliau bantuan kemanusiaan berkenaan diteruskan sebagai tanda sokongan Malaysia kepada United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA).
“(Ini) dukungan kepada UNWRA dari segi wang tunai lebih RM 100 juta seperti yang dimaklumkan sebelum ini atas usaha Menteri Pertahanan dan Menteri Luar Negeri kita,” katanya.
Anwar berkata demikian pada pada sesi penerangan terhadap perkembangan mutakhir isu Palestin dan keganasan rejim Isrel ke atas Gaza, Lubnan dan Iran di Parlimen hari ini.
Beliau dalam pada itu mendedahkan dana berjumlah RM25 juta akan diserahkan kepada UNRWA bagi menyegerakan bantuan kemanusiaan seterusnya.
Pada sesi itu juga Anwar memberi jaminan Malaysia optimis dengan prinsip menuntut keadilan untuk rakyat Palestin meskipun mengalami sedikit kerugian daripada segi pelaburan dengan negara-negara lain susulan sokongan berkenaan.
Malaysia kata beliau berdepan dengan Presiden Amerika Syarikat, Perdana Menteri Jepun atau Canselor Jerman bukan perkara yang mudah mengambil kira kepentingan pelaburan.
“Tetapi untuk isu kemanusiaan yang menentang kezaliman penjajahan kita tetap berdiri teguh berprinsip sehingga ada sedikit kerugian sehingga kita putuskan batalkan semua syarikat perkapalan ZIM Rotterdam tidak dibenarkan berlabuh di Malaysia.
“Saya ingin memberi jaminan bahawa sebagai negara bebas, merdeka dan berdaulat kita mempunyai prinsip dan keadilan di mana juga hal ini tidak boleh dipertikai kita akan terus dengan lebih tegas,” jelasnya.