JAKARTA, 4 Nov: Enam dilaporkan maut akibat letusan Gunung Berapi Lewotobi Laki-Laki di Daerah Flores Timur, Nusa Tenggara Timur (NTT) yang berlaku tengah malam tadi.
Badan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) menyatakan enam orang disahkan maut akibat kejadian tersebut.
Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata, letusan gunung berapi itu menyebabkan serpihan gunung berapi dan batuan jatuh merosakkan rumah dan kemudahan awam.
“Mangsa maut akibat rumah mereka tertimbus bahan gunung berapi yang jatuh sehingga menyebabkan rumah mereka hancur dan mangsa meninggal dunia,” katanya.
Muhairi menjelaskan, letusan gunung berapi tersebut menjejaskan sekurang-kurangnya tiga wilayah dan menjejaskan sekitar 10,295 penduduk.
“Ribuan penduduk turut dipindahkan ke tapak pemindahan sementara dan usaha pemindahan masih diteruskan sehingga kini,” ujarnya.
Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bencana Geologi (PVMBG) turut menaikkan paras Gunung Berapi Lewatobi Laki-Laki ke tahap awas bermula hari ini.
Masyarakat di sekitar gunung juga tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti dalam radius tujuh kilometer dari pusat letusan.-TVS