VIENTIANE, 4 Nov: Buat julung kalinya, Laos dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-9 tahun ini.
Isteri Presiden Laos, Naly Sisoulith berkata, ini merupakan satu penghormatan yang besar untuk mereka mempamerkan warisan dan budaya mereka dengan negara-negara Asean yang lain.
“Dengan tema ‘Menenun komuniti ASEAN yang Lebih Teguh melalui Warisan Budaya dan Tekstil’, ia secara tidak langsung mengukuhkan hubungan budaya yang mendalam serta menyatukan negara-negara ASEAN.
“Saya percaya perhimpunan ini bukan sahaja akan menyumbang kepada pemeliharaan seni tekstil tradisional tetapi juga menghormati kebijaksanaan, dedikasi dan kreativiti wanita yang telah menjaga tradisi tidak ternilai ini dalam masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-9 (ATTS9) di sini, hari ini.
Hadir sama, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Pengasas dan Penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja, serta Duchess Paku Alam yang juga Presiden Persatuan Seni Tekstil Tradisional Asia Tenggara (TTASSEA).
Mengulas lanjut, Naly Sisoulith berkata peralihan daripada gaya hidup tradisional kepada moden berkait rapat dengan pertumbuhan sosioekonomi.
“Walaupun kita menghadapi cabaran dalam mengekalkan budaya tradisional pengeluaran dan penggunaan tekstil, saya telah memerhatikan bahawa negara-negara ASEAN kekal teguh dalam mempromosi dan melindungi warisan tekstil mereka.
“Justeru dengan adanya simposium ini saya harap anda akan mendapat pandangan yang berharga. Saya percaya bahawa setiap tekstil yang kita kaji, setiap cerita yang kita kongsi dan setiap idea yang kita tukar secara membina akan membantu mengukuhkan komuniti ASEAN iaitu sebuah komuniti yang bersatu dalam kepelbagaian,” katanya lagi.
Program yang berlangsung pada 4 hingga 6 November itu menghimpunkan penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari negara-negara ASEAN untuk berkongsi maklumat mengenai keunikan tekstil masing-masing.
Selain itu, simposium dwitahunan tersebut juga menampilkan keindahan seni tekstil negara termasuk songket dan batik serta teknik penghasilan tekstil seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.
Terdahulu, Tunku Azizah sempat meluangkan masa melawat reruai dan pameran tekstil songket dan keringkam dari Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Baginda disambut oleh Penasihat Fesyen, Tekstil dan Warisan CENTEXS Commercial, Datu Dr Sabariah Putit. – TVS