MIRI, 4 Nov: Karnival Taste of Borneo yang diadakan di Miri baru-baru ini berjaya mencuri perhatian ramai dengan mempamerkan kekayaan budaya dan kraftangan etnik di Sarawak.
Acara ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk lebih mengenali pelbagai hasil seni etnik tempatan, tetapi turut mendorong generasi muda untuk lebih menghargai warisan budaya mereka.
Menurut Ramina Tadam, salah seorang ahli jawatankuasa Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan-Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) berkata pameran seperti ini sangat penting dalam memastikan kelangsungan identiti etnik yang unik, khususnya bagi suku Lun Bawang.
“Acara Taste of Borneo ini sangat penting kerana masih ramai yang belum mengenali suku Lun Bawang. Saya amat berterima kasih kepada FORUM dan setiap suku yang terlibat dalam pelbagai aktiviti, terutamanya pameran kraf.
“Melalui penyertaan dalam pameran ini dapat memberi pendedahan kepada generasi muda yang mungkin belum mengenali warisan dan identiti budaya etnik Lun Bawang,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Matthew Dominic yang berkunjung ke karnival ini, menggesa agar ia diteruskan pada masa hadapan kerana percaya ia memainkan peranan besar dalam mempromosikan budaya Sarawak kepada seluruh Malaysia dan dunia.
“Pada pandangan saya, karnival ini harus diteruskan. Ia merupakan satu tarikan budaya yang istimewa, terutamanya di Sarawak dan Malaysia amnya.
“Ini juga membolehkan masyarakat menyedari bahawa di Sarawak, kita mempunyai pelbagai kaum dan kraftangan yang unik,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mary Karl menekankan betapa pentingnya karnival seperti ini dalam memperkenalkan budaya tempatan kepada masyarakat yang lebih luas.
Menurutnya, karnival ini bukan sekadar mempamerkan kraf, tetapi juga memupuk perpaduan antara etnik di Sarawak.
“Karnival ini sangat baik untuk rakyat Malaysia kerana ia memberi peluang untuk memperkenalkan kraftangan dan budaya kita, bukan sahaja kepada masyarakat tempatan, tetapi juga kepada pengunjung dari luar negara,” ujarnya.