SEMPORNA, 4 Nov: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas dipercayai diserang anjing liar dalam kejadian Kampung Sungai Tohok, di sini, semalam.
Difahamkan kejadian berlaku berhampiran rumah mangsa kira-kira jam 8.30 pagi sebelum disedari orang awam dalam keadaan berlumuran darah.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya terkesan penularan video di media sosial berdurasi lapan saat yang memaparkan seorang kanak-kanak terbaring.
Katanya, menerusi rakaman video berkenaan, mangsa dilihat berlumuran darah selain terdapat beberapa kesan gigitan dipercayai diserang anjing liar.
“Pihak polis menerima laporan daripada bapa saudara mangsa pada jam 10.33 pagi dan polis sudah membuka kertas siasatan.
“Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Besar Tawau untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Sabri berkata, kes berhubung kejadian ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Sehubungan itu, Mohd Sabri menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan rakaman video berkaitan kejadian berkenaan bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi anjing liar bagi menjamin keselamatan masyarakat setempat. – TVS