MARUDI, 4 Nov: Penduduk Rumah Panjang Ba Abang Long Sepatai Ulu Baram di sini hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 11.09 malam dengan menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Marudi ke lokasi kejadian.
“Setakat ini belum ada maklumat terkini jumlah penduduk dan penghuni terlibat.
“Pihak bomba mengambil masa antara enam hingga tujuh jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda(4WD) ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba dimaklumkan seorang pemanggil mengenai kebakaran rumah panjang tersebut.
“Pihak bomba tidak dapat menghubungi penduduk yang terlibat untuk mendapatkan maklumat awal kebakaran disebabkan tiada liputan telefon,” ujarnya. -TVS