KUCHING, 4 Nov: Gerak gaya dan langkah lincah peserta sukan tarian dewan dansa atau ballroom dance di Konvensyen dan Kejuaraan Sukan Tarian Antarabangsa Terbuka Borneo (BOIDC) di Kuching berakhir malam tadi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, langkah lincah penari BOIDC menjadi permulaan untuk menjadikan masa depan lebih cerah untuk mereka.
Malah menurutnya, tumpuan selepas ini mungkin pentas antarabangsa bagi mengangkat sukan tersebut ke tahap lebih tinggi.
“Terima kasih kepada Persatuan Seni Persembahan Kuching (KPAA) dan Dance Academy kerana memainkan peranan dalam membantu menjayakan sukan ini di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen dan Kejuaraan Sukan Tarian Antarabangsa Terbuka Borneo (BOIDC) 2024 di Kuching pada Ahad.
Menurut Dr. Sim, BOIDC menjadi medan untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat penari peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Sukan ini telah diperkenalkan sejak era kolonial dan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan.
“Malaysia juga berjaya merangkul dua pingat emas di Kejohanan Terbuka London 2024 dalam kategori Latin Solo Wanita dan Latin Solo Wanita Remaja,” ujarnya.
Seramai 1,992 peserta dari 17 negara menyertai BOIDC yang berlangsung dari 1 hingga 3 November.-TVS