Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jumlah keseluruhan beban ekonomi bagi empat penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu penyakit kardiovaskular, penyakit metabolik terutamanya diabetes, penyakit kanser dan penyakit respiratori kronik dianggarkan sebanyak RM64.2 bilion.Foto hiasan, Envato.

Beban ekonomi cecah RM64.2 bilion akibat empat penyakit tidak berjangkit

ByAmirah Shawel

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Jumlah keseluruhan beban ekonomi yang ditanggung negara akibat empat penyakit tidak berjangkit (NCD) dianggarkan mencecah RM64.2 bilion.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia melibatkan penyakit kardiovaskular, penyakit metabolik terutamanya diabetes, kanser dan penyakit respiratori kronik.

Katanya perkara itu diperolehi menerusi Laporan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Penyakit di Malaysia: Kes Pelaburan 2021.

“Pada masa sama, penyakit kardiovaskular, kanser, diabetes dan penyakit pernafasan kronik menjadi pembunuh senyap yang menyumbang kepada 72 peratus daripada jumlah kematian pramatang di Malaysia.

“Beban ekonomi ini merangkumi kos langsung penjagaan kesihatan yang dibelanjakan oleh kerajaan sebanyak RM12.4 bilion setiap tahun, serta kos tidak langsung akibat kehilangan produktiviti akibat ketidakhadiran (serta) kehadiran tetapi kurang produktif dan kematian pramatang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Dzulkefly, isu produktiviti dan ketidakhadiran timbul akibat komplikasi diabetes seperti keletihan, penglihatan kabur dan peningkatan risiko jangkitan.

“Penyakit kardiovaskular dan diabetes sahaja menyebabkan kerugian RM1.8 bilion dari segi ketidakhadiran manakala produktiviti sebanyak RM 30.2 bilion,” katanya.

Bagi menangani isu kesihatan dan peningkatan kos perubatan akibat NCD, jelas beliau kerajaan menggembleng usaha kolektif menerusi pendekatan seluruh negara dan seluruh masyarakat yang melibatkan semua sektor.

“Antara pencegahan primer yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan yang mula diperkenalkan pada Julai 2022.

“Sejak dilancarkan sebanyak 4,175,032 saringan telah dilaksanakan dan untuk tahun ini sehingga 1 November 2024, sebanyak 1,619,210 individu berumur 18 dan ke atas telah disaring,” katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan laporan yang merupakan usaha sama dengan Bank Dunia itu akan dilancarkan pada 14 November ini di Sidang Parlimen.

Dalam pada itu beliau memaklumkan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif bersama melibatkan semua sektor bagi menangani isu kesihatan dan peningkatan kos perubatan akibat NCD.

“Antaranya ialah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), Kempen Perang Gula dan Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030.

“Bagi mengurangkan komplikasi pesakit diabetes termasuk komplikasi kardiovaskular dan buah pinggang yang menelan belanja lebih tinggi, Belanjawan 2025 telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM87.1 juta untuk pembelian ubat SGLT2i yang akan memanfaatkan 280,231 pesakit diabetes,” katanya. – TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan