MIRI, 3 Nov: Polis menerima tiga laporan berkenaan kes pinjaman dan kes penipuan belian atas talian tidak wujud membabitkan kerugian sebanyak RM25,400 di Daerah Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah(BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima laporan berhubung kes itu pada Khamis.
“Bagi kes pertama, mangsa wanita warga tempatan merupakan kerani swasta berumur 40-an telah melayari laman sosial Facebook dan terlihat satu iklan pinjaman wang yang menggunakan laman sesawang berlatarkan Hong Leong Bank, kemudian dia berhubung dengan suspek untuk membuat pinjaman sebanyak RM 20,000.
“Mangsa telah membuat pembayaran sebanyak 10 kali transaksi ketiga akaun yang diberikan oleh suspek melalui pindahan atas talian semasa berada di sekitar daerah Miri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa sedar ditipu kerana masih diarahkan untuk membuat bayaran selepas melakukan transaksi pembayaran sebanyak RM 11,400.
“Bagi kes kedua, mangsa warga tempatan merupakan suri rumah berumur 40- an telah melihat iklan di facebook berkenaan penjualan kereta terpakai Toyota Hilux, telah berhubung dengan suspek melalui facebook dan kemudian telah bersetuju untuk membeli kereta tersebut.
“Mangsa telah membuat pembayaran sebanyak empat kali transaksi ketiga akaun yang diberikan oleh suspek melalui pindahan atas talian dan mesin deposit tunai (CDM),” ujarnya.
Katanya, mangsa sedar ditipu apabila suspek meminta mangsa membuat pembayaran lagi bagi tujuan saman parkir.
Bagi kes ketiga, Alexson memberitahu mangsa adalah wanita warga tempatan merupakan pekerja swasta berusia 20-an tertarik dengan iklan jual beli emas di Facebook.
“Mangsa telah berhubung dengan suspek melalui whatsapp dan bersetuju untuk membeli emas yang dijual oleh suspek.
“Mangsa telah membuat pembayaran sebanyak dua kali transaksi ke akaun diberikan oleh suspek melalui mesin deposit tunai (CDM) iaitu transaksi pertama dan transaksi kedua dibuat semasa mangsa berada di negara Brunei Darussalam, kerugian yang dialami oleh mangsa adalah sekitar RM14,000,” katanya.
Katanya, mangsa sedar ditipu apabila menerima bungkusan yang mengandungi peralatan tulis dan bukannya emas.
Ketiga-tiga kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.-TVS