KUCHING, 3 Nov: Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Bgd), Brigedier Jeneral Mohd Sauffi Omar dan Komandan Briged Infantri 19/Khatulistiwa (Brigif 19/KH) Kol Arief Wicaksana menyempurnakan Upacara Pembukaan Eksesais LATMA KEKAR MALINDO Siri 47AB/2024 di Markas Komando Brigif 19/KH, Singkawang, Indonesia semalam.
Sel Risik Markas 3 Briged dalam kenyataan berkata, Latihan Bilateral diantara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI-AD) itu melibatkan pasukan Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) mewakili 3 Bed dan Batalyon Infantri 645/Ghardatama Yudha (Yonif 645/GTY) mewakili Brigif 19/KH.
Eksesais tersebut merupakan latihan tahunan antara TDM dengan TNI-AD bertujuan meningkatkan kerjasama melalui perkongsian ilmu pengetahuan, doktrin, taktik, teknik dan prosedur dalam operasi infantri.
Acara pembukaan dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan dan upacara pemakaian toha kepada peserta eksesais.
Eksesais tersebut terbahagi kepada tiga fasa iaitu Latihan Silang (Cross Training Exercise) di Komando Didik Bela Negara (RINDAM) XII/TPR, Latihan Menembak Peringkat Seksyen di Lapang Sasar RINDAM XII/TPR dan fasa latihan medan FTX (CIW) di kawasan am Sanggau Kulor.
Pelaksanaan eksesais bilateral tersebut selaras dengan Teras Kelima Perintah Ulung PTD ke-30 iaitu Anjakan Diplomasi Pertahanan yang mempertingkatkan usaha dalam aspek latihan bersama negara sahabat. – TVS