KUCHING,3 Nov: Penganalisis Sosiologi Politik Sarawak Profesor Dr Novel Lyndon menyifatkan Sarawak dan Sabah sebagai kuasa pengimbang atau kata putus bagi menamatkan sebarang konflik serta ketidakstabilan politik sekiranya mempunyai kuota satu pertiga daripada keseluruhan bilangan kerusi Parlimen.
Beliau berkata, kuota satu pertiga akan menjadikan blok Borneo mempunyai lebih ramai wakil rakyat yang menganggotai kabinet negara sekali gus memastikan keperluan dari sudut pembangunan tidak dinafikan.
“Dalam konteks politik, konsep hubungan merujuk kepada kesepakatan, kemuafakatan atau setuju untuk tidak setuju dalam konteks demokrasi. Sekiranya tuntutan ini dilaksanakan, ia akan dapat memastikan kestabilan politik di Malaysia kerana Sarawak dan Sabah mempunyai kerusi yang banyak di Parlimen dengan pertambahan 74 kerusi.
“Malah jika berlaku ketidakstabilan politik, blok Borneo ini juga akan menjadi kuasa pengimbang dalam konteks politik,” katanya.
Menurutnya, pertambahan kerusi tersebut juga memberikan kesan kepada negeri di Semenanjung Malaysia khususnya dari segi suara di Parlimen dan kuasa dalam landskap politik negara.
“Pastinya dengan jumlah kerusi yang banyak, akan lebih ramai wakil rakyat dari Sarawak dan Sabah menganggotai kabinet dan kedua-dua wilayah ini bakal menjadi fokus atau naratif utama dalam sistem pentadbiran negara termasuk penekanan dari sudut belanjawan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat dua isu yang perlu diteliti sekiranya membicarakan mengenai tuntutan kerusi tersebut terutama dari sudut Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi serta penerimaan negeri di Semenanjung Malaysia.
“Sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia, tuntutan ini adalah wajar dan perlu dilaksanakan disebabkan proses itu dibentuk melalui perjanjian antarabangsa. Namun adakah Kerajaan Persekutuan membenarkan proses dan pelaksanaan ini berlaku?
“Apakah maklum balas negeri-negeri di Semenanjung yang membentuk Persekutuan Malaysia bagi membenarkan proses ini berlaku apabila dibentangkan di Dewan Rakyat dan selanjutnya di Dewan Negara?
“Tetapi saya tidak merasakan ada halangan sekiranya Kerajaan Perpaduan pada hari ini memberi literasi politik tentang apa itu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948,” jelasnya.
Bagaimanapun menurutnya, isu utama ialah berapa ramai rakyat hari ini yang tahu dan faham tentang intipati MA63 dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948.
“Saya merasakan kerajaan pada hari sudah bekerja keras untuk memastikan agar MA63 dapat direalisasikan melalui pembentukan pelbagai jawatankuasa di peringkat menteri, persekutuan dan negeri mahupun dalam urus tadbir.
“Persoalannya mungkin dari segi perundangan dan perlembagaan yang perlu diteliti secara komprehensif berdasarkan Perlembagaan Malaysia,” kata Novel.
Tambahnya, pandangan rakyat Malaysia tentang isu berkenaan bergantung kepada pemahaman secara struktural dan konseptual tentang kedua-dua perjanjian berkenaan.
“Saya rasa sekiranya rakyat kita memahami dengan baik, mereka pasti akan menerimanya. Namun perkara ini perlu diterangkan secara komprehensif kepada rakyat agar tidak timbul perasaan tidak puas hati atau dijadikan sebagai agenda politik.
“Kefahaman yang jelas tentang kedua-dua perkara ini penting bagi merungkai kelompangan dan titik bengik yang timbul dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga parti parti politik serta semua pihak.
“Proses ini sudah berlaku sebenarnya dalam jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Tuntutan ini harus direalisasikan kerana ia termaktub dalam MA63 serta harus menjadi agenda utama Sarawak,” ujarnya,
Menurutnya lagi, langkah seterusnya yang perlu dilakukan ialah dengan merealisasikan tuntutan berkenaan melalui proses rundingan berasaskan konsep musyawarah dalam konteks negara atau keluarga Malaysia melalui jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.-TVS