BALIK PULAU, 3 Nov: Satu rangka manusia ditemui di dalam sebuah kebun durian di Jalan Pulau Betong di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner (ACP) Sazalee Adam berkata, tulang-tulang tersebut dijumpai orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis kira-kira pujul 12.35 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati beberapa tulang dan rangka manusia ditemui di bawah timbunan tanah di kawasan lereng bukit.
“Polis turut menemui beberapa barang lain termasuk serpihan telefon, cawan, gulungan dawai, periuk besi dan serpihan kipas.
“Rangka itu telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Sazelee, pihaknya sedang menunggu keputusan bedah siasat dan laporan forensik bagi siasatan lanjut. – TVS