LIMBANG, 3 Nov: Seorang pengawal keselamatan bersama-sama rakannya seorang penganggur bukan warganegara diberkas polis bersama sejumlah ganja di kawasan bangunan kedai di Jalan Tedungan Jumaat lepas.
Dalam kejadian jam 8.15 malam itu kedua-dua suspek berumur 24 dan 25 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang ketika berada di bangunan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, hasil pemeriksaan ke atas satu bungkusan kotak yang dibawa oleh salah seorang suspek menjumpai lapan peket plastik lutsinar kedap udara dan di dalam setiap peket mengandungi ketulan mampat daun kering disyaki dadah jenis ganja pelbagai bentuk dan berat beranggaran 887.00 gram.
“Hasil siasatan awal mendapati bekalan dadah tersebut dibawa masuk secara pos ke Limbang dan dipasarkan untuk pengguna di sekitar Daerah Limbang dan Negara Brunei.
“Keseluruhan rampasan dadah bernilai RM2,800 dan boleh digunakan seramai 1,774 pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut disita tambahnya sebuah kenderaan yang digunakan kedua-dua suspek bernilai RM15,000 yang dipercayai hasil penjualan dadah.
“Kedua-dua suspek merupakan seorang pengawal keselamatan dan penganggur manakala semakan rekod jenayah mendapati masing-masing tidak mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah di negara ini.
“ Kedua-dua suspek tersebut dipercayai terlibat secara langsung dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Daerah Limbang dan Negara Brunei manakala hasil ujian saringan awal air kencing kedua-dua mereka didapati positif Tetra Hydrocannibol (THC),” ujarnya.
Menurutnya, kedua-dua saspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Parum berkata, pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dengan sebarang kes jenayah terutama membabitkan dadah dan orang ramai perlu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada pihak polis.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Limbang di talian 085-211466 atau hotline Polis Sarawak di talian 08-2245 522 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.- TVS.