KUCHING, 3 November: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sentiasa memberikan sokongan yang padu dalam pembangunan sukan bola sepak.
Legenda bola sepak Sarawak, Abdul Jalil Ramli berkata, semasa mula-mula berkecimpung dalam bola sepak, beliau merupakan salah seorang kakitangan PETRONAS dan syarikat tersebut memberikan sokongan serta galakan untuk mencurahkan bakti dalam sukan tersebut.
Menurutnya, kejohanan tersebut secara langsung memberi satu gambaran bola sepak Sarawak sekarang menuju ke arah yang betul kerana pencarian bakat boleh bermula di peringkat bawah umur bagi mengetengahkan bakat muda.
“Saya memuji usaha PETRONAS sebab kejohanan seperti ini memberi satu gambaran bahawa bola sepak kita sekarang ini menuju ke arah yang betul.
“Jadi ia seharusnya bermula di peringkat iaitu bawah umur dan seterusnya ke peringkat belia dan piala presiden seterusnya senior,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita semasa Kejohanan Tertutup Bola Sepak Belia Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) 2024 di Padang D Stadium Negeri Sarawak di Kuching pada Sabtu.
Tambahnya, beliau turut memberikan nasihat agar setiap pemain harus mempunyai minat yang mendalam kerana bola sepak memerlukan disiplin tinggi untuk berjaya.
Beliau menggesa pemain muda Sarawak tidak mengabaikan pendidikan kerana ilmu adalah satu bekalan kehidupan pada masa hadapan.
“Yang pertama sekali pemain itu harus ada minat yang mendalam jika mahu bermain bola sepak.
“Kalau peringkat ini jangan abaikan pelajaran sebab pada penghujung hari pelajaran tetap nombor satu,” jelasnya. – TVS