BEIJING, 3 Nov: Lemi Berhanu Hayle dari Ethiopia dan Vicoty Chepngeno dari Kenya masing-masing menjuarai kategori lelaki dan wanita pada Maraton Beijing 2024 pada Ahad, lapor Xinhua.
Hayle menamatkan larian di tempat pertama dengan catatan dua jam sembilan minit dan 16 saat, hanya 14 saat di hadapan naib juara Bethwel Kibet Chumba dari Kenya. Pelari China, Chen Tianyu, menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 2:09:48.
Dalam acara wanita, Chepngeno mencatatkan masa 2:21:56 untuk menaiki podium manakala Rahma Tusa dari Ethiopia dan seorang lagi pelari Kenya, Angela Jemesunde Tanui, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Bagi meningkatkan pengalaman keseluruhan peserta maraton, penganjur telah memindahkan garisan permulaan 100 meter ke utara di bahagian timur Dataran Tiananmen untuk permulaan yang lebih lancar tahun ini.
Laluan maraton, yang merentasi Dataran Tiananmen hingga ke Taman Olimpik Beijing, kekal menjadi pilihan popular bagi pelari dari seluruh dunia. Walaupun had penyertaan ditetapkan pada 30,000 peserta, rekod 182,949 pelari dari 43 negara dan wilayah memohon dalam tempoh tiga hari pertama pendaftaran bulan lalu. -TVS