MIRI, 3 Nov: Pasukan Gunners dari Brunei Darussalam muncul juara Sarawak Invitational Fast Pitch Softball Tournament 2024 anjuran Persatuan Sofbol Sarawak yang berlangsung di Padang MYSED, Pusat Belia, Miri hari ini.
Naib Presiden Persatuan Sofbol dan Besbol Amatur Brunei yang juga Kapten Gunners, Wan Muhammad Tambrin Shah meluahkan rasa bangga dan gembira atas pencapaian mereka.
“Kami sangat gembira memenangi kejohanan ini. Namun, kebahagiaan kami bukan sekadar kemenangan tetapi dapat merasai semangat persahabatan dan kerjasama dengan Persatuan Sofbol Sarawak,” katanya kepada TVS.
Wan Muhammad turut berhasrat mengundang pasukan dari Sarawak untuk menyertai kejohanan sofbol di Brunei demi memperkukuh hubungan kedua-dua negara.
Beliau juga menyatakan impian untuk melihat perkembangan sofbol di seluruh Borneo terutama dengan aspirasi menganjurkan Kejohanan Borneo Trophy yang bakal melibatkan pasukan dari Kalimantan, Sabah, Brunei dan Sarawak.
“Walaupun sofbol tidak begitu popular di Borneo, kami berharap kejohanan ini dapat menjadi platform untuk memperluaskan minat terhadap sukan ini,” ujarnya. – TVS