KUCHING, 3 Nov: Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak melakar sejarah dalam Regata Sarawak selepas merangkul gelaran Raja Sungai hatrik selepas muncul juara bagi edisi 2022, 2023 dan 2024.
Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mersal Abang Rosli berkata, pasukan tersebut menggunakan pengkayuh pada edisi lepas dan ia merupakan strategi atau ramuan rahsia mengekalkan kejuaraan.
“Kejuaraan ini memang diidamkan semua pasukan bertanding, kami juga mahu mengekalkan kejuaraan ketiga dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
“Saya memang merasa gementar dan gemuruh melihat pesaing (Landas Azam Kasihnya Warisan 1) mengekori rapat kerana kita mahu mencapai hatrik.
“Alhamdulillah dengan berkat doa dan usaha, kita berjaya menjulang kejuaraan kali ketiga,” katanya kepada TVS selepas Regata Sarawak 2024 di Tebingan Kuching hari ini.
Menurutnya, sasaran pada masa akan datang adalah untuk melakar kejuaraan keempat sekali gus mengekalkan gelaran Raja Sungai.
“Kita akan mengekalkan pengkayuh sedia ada untuk bertanding pada edisi akan datang.
“Memang banyak persiapan perlu dilakukan termasuk strategi dan perancangan bagi mengekalkan kejuaraan,” ujarnya.
Pasukan Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak 3 berjaya menumpaskan dua pencabar iaitu Landas Azam Kasihnya Warisan 1 dan Udak bagi merebut Piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak bagi acara perahu bidar 30 pengkayuh lelaki (tempatan). – TVS