LAHAD DATU, 3 Nov: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang berlaku di Jalan Bypass, di sini, hari ini.
Kejadian yang tular di media sosial itu dikatakan berlaku melibatkan penggunaan senjata berbahaya yang boleh membawa maut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan daripada seorang lelaki yang tampil membuat laporan di Balai Polis Lahad Datu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, pihak polis percaya kejadian disebabkan ketidakpuasan hati berkaitan kemalangan jalan raya yang berlaku sebelum itu.
“Punca kejadian disebabkan perasaan tidak puas hati dengan kemalangan yang berlaku sehingga tercetus pergaduhan antara mereka.
“Kejadian yang turut tular di laman Facebook Info Lahad Datu itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata-senjata maut dalam rusuhan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan, polis berjaya menahan seorang suspek yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan.
Katanya, pihak polis juga sedang berusaha untuk mengesan lain-lain suspek yang masih bebas dalam insiden berkenaan.
Sehubungan itu, Jimmy menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga ketenteraman awam.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan tampil menghubungi polis untuk membantu siasatan lanjut.
“Sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat kes, Sarjan Fitzeraldfield Sudy di talian 089-881255 atau tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya. -TVS