KUCHING, 3 Nov: Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) membuka peluang kepada masyarakat meningkatkan kemahiran dan mengeratkan hubungan antara kolej dengan komuniti.
Pengarah Kolej Komuniti Kuching Sumbang Mandaw berkata, peranan kolej bukan sahaja tertumpu kepada pendidikan formal dalam kelas tetapi turut melibatkan usaha mendekati masyarakat, memahami keperluan mereka dan menawarkan program bersesuaian.
“Melalui Karnival PSH, kami dapat mengenal pasti keperluan komuniti dengan lebih mendalam dan seterusnya menawarkan kursus relevan terutamanya dalam era globalisasi yang semakin menuntut kemahiran baharu,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Penutup Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat di Kolej Komuniti Kuching, Ahad lalu.
Karnival yang berlangsung selama dua hari ini itu menyaksikan penyertaan seramai 250 peserta terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak yang terlibat dalam tiga kluster kursus yang ditawarkan sejak hari Sabtu.
Setiap peserta yang berjaya menamatkan kursus diberikan sijil sebagai pengiktirafan terhadap kemahiran yang diperoleh melalui program tersebut.
Sumbang turut menekankan usaha kolej dalam mempersiapkan masyarakat menghadapi era Revolusi Industri Keempat (4IR) dengan menawarkan kursus memfokuskan kepada kemahiran digital.
Kursus tersebut termasuklah Kursus Strategik Pemasaran TikTok, Rekabentuk Grafik Canva, Pengendalian Drone, dan Suntingan Video.
Karnival tersebut juga menyediakan kursus yang menarik untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dalam Kluster Sajian seperti Kursus Dekorasi Donut, Cupcake, dan Pembuatan Pizza, yang bukan sahaja mendidik tetapi juga mengasah kreativiti mereka dalam penyediaan makanan.
Di samping itu, Kluster Fesyen dan Pakaian turut menawarkan kursus jahitan blouse wanita dan skirt potongan duyung bagi memberi pendedahan dalam bidang fesyen kepada peserta.
Selain pelbagai kursus yang ditawarkan, acara karnival turut dimeriahkan dengan aktiviti sampingan seperti tayangan Realiti Maya (Virtual Reality) Kisah-Kisah Nabi, pameran promosi pengambilan pelajar POLYCC bagi sesi akademik 2024/2025, serta jualan keusahawanan yang dijalankan oleh pelajar Kolej Komuniti Kuching.
Sumbang berkata, penyertaan dalam kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dianjurkan ini adalah peluang untuk peserta memperkasa diri dengan kemahiran baharu yang mampu memberi impak positif terhadap pembangunan diri dan komuniti secara keseluruhan.
“Saya percaya, setelah menghadiri kursus-kursus kemahiran TVET ini, para peserta akan mempunyai peluang yang lebih besar untuk memperkasa diri dengan kemahiran baharu yang dapat memberi impak positif kepada pembangunan diri dan komuniti,” ujarnya.-TVS