DARO, 2 Nov: Seramai 400 peserta menghadiri Taklimat dan Penerangan Inisiatif serta Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Sarawak di Dewan Masyarakat Daro, hari ini.
Mereka terdiri daripada pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, penganjuran program itu merupakan sebahagian usaha penting kerajaan dalam meningkatkan sistem penyampaian pemimpin peringkat akar umbi khususnya di DUN Daro.
“Ini merupakan program mendekati rakyat dan kita menggunakan kesempatan yang ada untuk memberikan penjelasan tentang dasar kerajaan khususnya inisiatif yang diperkenalkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pendekatan yang kita laksanakan hari ini adalah lebih baik kerana turut disertai agensi-agensi yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, melalui inisiatif dan strategi itu, Kerajaan Sarawak berhasrat membina masyarakat lebih berdaya tahan, inklusif dan mampu beradaptasi dengan perubahan serta memastikan kesejahteraan rakyat untuk masa depan lebih cerah.
Antara agensi yang terlibat termasuklah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Dalam pada itu, Mutiara Mortgage dan Credit turut memberikan penerangan tentang bantuan kewangan pembelian perumahan, projek perumahan dan sewaan perumahan.
Lebih menarik apabila Setiausaha Politik Premier Sarawak, Samat Gany, John Nyigor, Fridah Osman Adenan serta Abang Abdul Aziz Datuk Dr Abang Abdul Draup masing-masing memberikan penjelasan aspirasi terkandung dalam pelan Covid-19 (PCDS 2030).
Sementara itu, penutupan pada sebelah petang dilakukan ADUN Daro Safiee Ahmad manakala perasmian oleh Pegawai Daerah Daro selaku pengerusi pengelola, Zul Usup.- TVS